SEMPORNA: Sekurang-kurangnya 30 rumah penduduk di dua perkampungan atas air di sini, dilaporkan mengalami kerosakan akibat ribut dan angin kencang, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzlan Sarman ketika dihubungi Harian Metro berkata, kejadian ribut itu dilaporkan berlaku antara 3 hingga 4 pagi sebelum pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.21 pagi ini.
Menurutnya, ia membabitkan 20 rumah penduduk dan sebuah masjid di Kampung Selamat, manakala 10 rumah di Kampung Sri Aman turut dilaporkan mengalami kerosakan.
“Kejadian mengakibatkan beberapa rumah di perkampungan atas air, ada yang roboh, selain mengalami kerosakan, dan berlaku litar pintas (wayar putus) berpunca daripada angin kencang.
“Selain itu, sekurang-kurangnya 20 kereta milik penduduk juga dilaporkan mengalami kerosakan akibat dihempap struktur dan bumbung rumah yang diterbangkan angin kencang,” katanya.
Madzlan berkata, operasi pemantauan dijalankan oleh pasukan bomba dan turut dibantu pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.
“Anggaran jumlah kerugian masih disiasat dan operasi ditamatkan 7.38 pagi,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.