BUTTERWORTH: Kemudahan internet percuma selama sembilan bulan bakal dinikmati seramai 53,000 isi rumah yang menghuni 30 Projek Perumahan Rakyat (PPR) seluruh negara melalui Program Jalinan Digital Negara 2.0 (Jendela@PPR 2.0).
Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, berkata ketika ini terdapat 27 PPR sudah mendapat kemudahan internet percuma dan bakinya dijangka siap sepenuhnya menjelang April ini.
Katanya, sebanyak 13,218 unit rumah PPR dikenalpasti dalam projek rintis itu dan yakin kemudahan berkenaan akan memudahkan golongan berpendapatan rendah (B40) terutamanya pelajar dan pekerja yang membuat kerja di rumah.
“Kerajaan membelanjakan sejumlah RM22 juta bagi projek ini dengan melibatkan kerja-kerja pemasangan kabel gentian optik, ‘router’ dan modem serta perkhidmatan internet berkapasiti 30Mbps di setiap unit rumah.
“Seramai 53,000 isi rumah akan menerima manfaat internet percuma selama sembilan bulan dan selepas itu (tamat akses), mereka (penduduk PPR mempunyai pilihan untuk melanggan pakej internet disediakan dengan harga yang lebih kompetitif selain lebih murah daripada pasaran mengikut kemampuan masing-masing.
“Pihak kita melihat inisiatif ini sangat proaktif yang ia memang berpaksi kepada keperluan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sesi lawatan ke PPR Taman Bagan Jaya, di sini, hari ini.
Kira-kira 1,488 penduduk di PPR terbabit dijangka menjadi kumpulan penghuni PPR pertama di Pulau Pinang yang akan menikmati kemudahan internet secara percuma selama sembilan bulan.
Terdahulu, beliau melawat dan mendengar cadangan pembangunan semula pasar awam di Bukit Mertajam.
Sementara itu, Kor Ming memuji Pulau Pinang selaku negeri pertama yang mewajibkan kemudahan mengakses internet sebagai sebahagian daripada keperluan asas dan utiliti untuk membangunkan satu-satu projek.
“Dulu, jika nak buat sesuatu projek pembangunan utiliti atau asasnya hanyalah air dan elektrik tetapi kali ini, Pulau Pinang adalah negeri pertama yang mewajibkan internet dalam pembangunan,”katanya.