Oleh : Raja Nurul Antasha Raja Zaman
BATU PAHAT : Kira-kira 30 unit pam air bergerak dengan kapasiti dua hingga 20 kaki padu sesaat (cusec) dipasang di sekitar daerah ini, sejak 11 Mac lalu.
Pegawai Daerah Batu Pahat, Nasri Md Ali berkata, operasi pam bergerak itu sebagai tambahan kepada sistem saliran dan pam sedia ada bagi mempercepat aliran air banjir termenung.
“Kita memerlukan lagi lebih kurang 10 unit pam bergerak bermakna dalam masa dekat ini sebanyak 40 unit pam air di sini.
“30 unit pam air bergerak itu melibatkan tujuh unit pam Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Batu Pahat manakala 23 unit lagi bantuan daripada beberapa JPS negeri lain” katanya ketika ditemui TV3 di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Pejabat Daerah Batu Pahat hari ini.
Ujarnya, Bantuan pam air turut diterima daripada beberapa negeri lain termasuk ibu pejabat JPS (6), Terengganu (1), JPS Kedah (2), Selangor (1), Perlis (5), Pulau Pinang (2), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1) dan Negeri Sembilan (2).
Kesemua pam berkenaan telah mula beroperasi bermula 11 Mac lalu di 14 lokasi secara berperingkat.
Antara lokasinya termasuk Pintu Air Kuala Senggarang, Parit Bintang, Parit Asam Kumbang, Pintu Air Hailam, Parit Labis, Parit Sulong, Parit Separap, Taman Botani di Sri Medan.
Katanya, pam air bergerak hidraulik yang berkapasiti antara 56 hingga 560 liter/saat mampu mengepam air selama empat jam.
Enjinnya perlu direhatkan selama satu jam bagi mengelak kerosakan pada enjin.
“Dengan penggunaan pam bergerak ini, jangkaan air banjir akan surut dalam tempoh dua minggu hingga sebulan di Batu Pahat.
“JPS Batu Pahat memerlukan tambahan 10 unit pam air dari bantuan negeri lain yang dijangka diterima dan dipasang dalam masa terdekat.” katanya.
Mengikut data Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri setakat jam 12 tengah hari tadi, 38,456 mangsa banjir direkodkan di Johor .
Batu Pahat mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 37,717 mangsa.