Tumpuan :
Nasional

30 ladang babi komersial di Pulau Pinang dijangkiti ASF

FOTO : Arkib NSTP

BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang mengesahkan penyakit African Swine Fever (ASF) menjangkiti 30 ladang babi komersial di seluruh negeri.

Ia membabitkan 19 ladang di Seberang Perai Selatan, Seberang Perai Tengah (dua), Seberang Perai Utara (enam) dan tiga di Barat Daya menjadikan jumlah keseluruhan populasi babi yang dijangkiti adalah 68,659 ekor.

Pengarah JPV negeri, Dr Saira Banu Mohamed Rejab, berkata bagi mengawal dan mencegah perebakan penyakit ASF pihaknya menjalankan ‘stamping out policy’ iaitu pemusnahan babi di ladang positif atau dipercayai dijangkiti dalam zon jangkitan dengan berpandukan Protokol Veterinar Malaysia (PVM) bagi penyakit ASF.

“Dasar ini diamalkan dengan tujuan menghapuskan virus supaya penternak dapat menternak semula dengan selamat serta bebas daripada penyakit ASF, seterusnya menjamin bekalan daging babi dalam negara mencukupi.

“Pemusnahan babi dijalankan bermula 5 Januari lalu selepas kes pertama ASF dikesan dengan kadar kematian yang tinggi iaitu mencecah 37 peratus atau kira-kira 60 ekor sehari daripada populasi 1,200 ekor babi di ladang.

“Di Pulau Pinang, pemusnahan babi daripada ladang-ladang dengan kematian yang tinggi sehingga melebihi 30 peratus telah selesai dijalankan dan kadar perebakan penyakit dilihat semakin perlahan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Saira berkata, penemuan karkas babi dengan tanda-tanda klinikal seperti penyakit ASF di rumah sembelih juga berkurangan termasuk pihaknya tidak lagi menerima aduan berhubung kematian babi yang tinggi di ladang babi.

Beliau berkata ini menunjukkan kaedah ‘stamping out’ oleh pihak JPVPP memberi kesan amat baik.

“Sehingga hari ini, sebanyak 14,385 ekor babi dilupuskan dari 16 ladang positif dan bakinya sedang dalam proses pelupusan.

“JPVPP amat bersimpati ke atas nasib penternak yang terkesan dengan penyakit ASF memandangkan perkara ini melibatkan kerugian yang amat besar.

“Bagi meringankan beban penternak, JPVPP juga telah menghantar permohonan wang ehsan bagi 10 ladang babi yang telah selesai proses pelupusan sepanjang bulan Januari lalu kepada pihak Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar (IPPV) di Putrajaya untuk di angkat ke peringkat seterusnya iaitu di peringkat kerajaan persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Saira berkata, bekalan daging babi di seluruh negeri ini juga dianggar mencukupi dengan Kadar Sara Diri (SSL) masih melebihi 100 peratus apabila terdapat 94 ladang babi yang masih negatif penyakit ASF dengan populasi sekitar 198,586 ekor babi.

“Kesemua ladang-ladang yang negatif ASF masih menjalankan penternakan seperti biasa dan dibenarkan untuk menyembelih babi di rumah-rumah sembelih berlesen dengan pemeriksa daging dari JPVPP memeriksa dan memastikan hanya daging yang bebas ASF dijual di pasaran,” katanya.

Loading...
Terkini