KUALA TERENGGANU: Tiga warga tempatan berusia lingkungan 50-an sedang disiasat atas dakwaan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas serbuan penguat kuasa Imigresen di tapak pembinaan di Marang dan Dungun.
Pengarah Imigresen Terengganu, Mohd Yusri Mohd Nor, berkata individu terbabit telah menerima notis untuk hadir memberi keterangan, dan mereka mungkin berdepan denda sehingga RM50,000 mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Dalam operasi semalam, 21 daripada 52 warga asing yang diperiksa di lokasi itu ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen, termasuk tinggal melebihi tempoh, tiada dokumen sah, dan melanggar syarat pas kerja.
“Seramai 52 warga asing yang sedang leka berehat dan berkerja di tapak pembinaan itu ditahan untuk pemeriksaan. Selepas pemeriksaan dilakukan, 21 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (c), Akta Imigresen 1959/63.
Mohd Yusri turut menggesa orang ramai melaporkan keberadaan PATI, mengingatkan bahawa tempoh Program Repatriasi Migran (PRM) telah berakhir Disember lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.