
LANGKAWI: Tiga lelaki warga emas berusia 61 tahun antara 115 penagih ditahan dalam Op Perdana dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Pasukan Polis Marin (PPM) sekitar daerah ini, semalam.
Dalam operasi bermula 6 pagi hingga 12 tengah malam tadi, seramai lima wanita berusia 19 hingga 40 tahun turut ditahan di Kampung Bukit Malut yang dijadikan ‘port’ mereka melepaskan gian.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Khairul Anwar Bachok berkata, pelaksanaan Op Perdana di Langkawi bertujuan mewujudkan persekitaran sihat menjelang Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) Mei depan.
“Operasi ini membabitkan 30 pegawai AADK yang dibantu anggota PPM Wilayah 1 Langkawi dengan serbuan dan penahanan dilakukan di dua lokasi utama iaitu Kampung Bukit Malut serta Taman Nilam.
“Seramai 115 individu berusia antara 19 hingga 61 tahun disyaki penagih dadah ditahan, malah ada antara mereka pernah ditahan AADK beberapa kali sebelum ini,” katanya pada sidang media di Pejabat AADK Langkawi di sini, hari ini.
Khairul Anwar berkata, daripada jumlah itu seramai 96 individu terdiri 91 lelaki dan lima wanita didapati positif pelbagai jenis dadah serta kebanyakan daripadanya adalah golongan belia.
“Kesemua individu termasuk tiga warga emas dan lima wanita ditahan mengikut Seksyen 3(1) (a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 untuk tindakan lanjut.
“Dalam operasi ini, kita turut berhadapan cabaran termasuk penagih yang cuba melarikan diri dan merempuh anggota AADK dengan motosikal, namun tiada sebarang kecederaan berlaku,” katanya.
Katanya, masyarakat atau ahli keluarga perlu membuat laporan kepada AADK atau pihak berkuasa jika terdapat individu atau anak mereka terbabit dengan dadah.
“Masyarakat perlu memberi perhatian perkara itu supaya tindakan susulan dapat diambil sama ada terhadap penagih atau lokasi aktif sarang penagihan dadah berhampiran tempat tinggal mereka,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.