KENINGAU: Polis menyelamatkan tiga wanita termasuk kanak-kanak berusia 12 tahun yang disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan eksploitasi seks, hasil dua serbuan berasingan di sini kelmarin.
Susulan itu tiga lelaki turut ditangkap.
Operasi pada 2 Oktober lalu, dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.
Ketua Polis Daerah, Supt. Yampil Anak Garai berkata, pasukan serbuan menjalankan Op Pintas di sekitar daerah ini dan mengesan aktiviti pemerdagangan orang dan eksploitasi seks.
Katanya, serbuan pertama dijalankan di sebuah inap desa menyelamatkan dua wanita berusia 30 dan 12 tahun.
“Ketika serbuan itu juga, polis turut menahan dua lelaki berusia 44 dan 15 tahun yang berperanan sebagai ‘runner’ dan ‘transporter’.
“Seterusnya, serbuan kedua dilakukan di sebuah hotel di Jalan Lintas Plaza, Kota Kinabalu dan menyelamatkan seorang lagi wanita berusia 19 tahun dan pasukan serbuan turut menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 23 tahun,” katanya.
Yampil berkata, susulan serbuan itu polis merampas wang tunai RM785, tujuh telefon bimbit pelbagai jenama dan beberapa keping kondom.
“Hasil siasatan mendapati seorang daripada tiga suspek berperanan sebagai ‘runner’ dan ‘transporter’ untuk menghantar mangsa sekitarnya jika ada pelanggan yang ingin melanggan mangsa di kawasan berhampiran.
“Dua lagi suspek pula berperanan untuk mencari pelanggan kepada mangsa melalui aplikasi MiChat,” katanya.
Menurutnya, modus operandi semua suspek adalah menjadikan satu-satu kawasan sebagai transit untuk mengelak kegiatan mereka daripada dikesan pihak berkuasa.
“Mereka ini akan bergerak secara mobile dari satu tempat ke tempat yang lain sebagai tempat beroperasi.
“Semua suspek direman selama lima hingga tujuh hari mengikut Seksyen 12/14 Akta Anti Pemerdagangan Manusia (ATIPSOM) 2007,” katanya.