comscore
Tumpuan :
Nasional

3 vesel, 10 nelayan tangguk siput ditahan

FOTO: Maritim Malaysia

Oleh: Selwam Arjunan

ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan tiga vesel gentian kaca yang dipercayai menggunakan peralatan menangguk siput yang tidak dibenarkan dalam rondaan rutin OP AMAN dan OP TIRIS 3.0.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, tangkapan dilakukan di kedudukan 3.0 batu nautika muara Kuala Kedah, di sini, pada jam 9 pagi semalam.

Katanya, tiga buah vesel bersama 10 orang kru nelayan tempatan berkenaan ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika melakukan aktiviti menangguk siput dengan menggunakan peralatan sangkar besi yang tidak dibenarkan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, ketiga-tiga bot berkenaan melakukan kesalahan dibawah Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dan kesalahan di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 iaitu memasang peralatan menangkap ikan tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

FOTO: Maritim Malaysia

“Kesemua bot, enjin beserta hasil tangkapan seberat 210 kilogram dianggarkan bernilai hampir RM300,000 dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tegasnya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

Pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai bagi melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini