comscore
Tumpuan :
Nasional

3 termasuk wanita hamil maut nahas 2 kenderaan

Keadaan kenderaan terbabit kemalangan yang meragut tiga nyawa di Jalan Mengabang Lekor, Batu Rakit. -Foto: NSTP

KUALA NERUS: Ibu hamil antara tiga yang maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Mengabang Lekor, Batu Rakit, di sini, malam tadi.

Kemalangan jam 9.15 malam itu membabitkan kereta Proton Wira dan kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara.

Mangsa yang maut adalah sebagai penumpang Nissan Navara, Zaini Ambak, 46, dari Kampung Rahmat, Chalok, Bandar Permaisuri, Setiu; serta pemandu dan penumpang Proton Wira, Muhammad Iqwan Ahmad Izeham, 23, serta Nur Mimi Aliya Mohd Shukri, 18, masing-masing dari Kampung Kuala Abang, Dungun.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, Muhammad Iqwan yang memandu Proton Wira meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Sementara, Nur Mimi Aliya yang menaiki kenderaan sama dan Zaini yang menaiki Nissan Navara dipandu suaminya, masing-masing meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kejadian dikatakan berlaku ketika Proton Wira dari arah Setiu menghala ke bandar Kuala Terengganu manakala Nissan Navara dari arah pasar malam Kampung Pak Tuyu menghala ke Penarik, Setiu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Rahmat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebaik tiba di lokasi kejadian, Proton Wira dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Nissan Navara.

Katanya, akibat pertembungan itu, dua kenderaan terbabit remuk dan penumpang Nissan Navara serta Proton Wira meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu Proton Wira yang parah meninggal ketika menerima rawatan di hospital.

“Pemandu Nissan Navara, Rasdi Yaakob, 58, yang juga suami kepada Zaini turut cedera dan kini dirawat di HSNZ Kuala Terengganu.

“Ketika kejadian hujan lebat dan keadaan permukaan jalan licin,” katanya.

Menurutnya, kesemua mayat dihantar ke Unit Forensik HSNZ untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini