comscore
Tumpuan :
Kemalangan

{KEMAS KINI} Dua beradik antara tiga maut, dua kereta bertembung

PETALING JAYA: Dua beradik wanita antara tiga terbunuh  apabila dua kereta bertembung di Jalan Sri Aman – Engkelili, Sarawak semalam.

Mangsa Pauline Simba Jua, 34, yang berasal dari Rumah Panjang Mandau Lempaong, Betong, disahkan maut di tempat kejadian manakala adiknya Elizabeth Jua, 33, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Engkelili.

Pemandu kereta Perodua Viva yang mereka naiki, Carlos Nelson, 22, turut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang kereta terbabit, Ling Unang, 38, pula cedera parah.

Tiga lagi mangsa termasuk dua anggota tentera yang menaiki kereta Proton Saga turut cedera parah

Anggota tentera terbabit, kedua-duanya berasal dari Perak ialah Mohammad Taufiq Hidayat Othman, 24, dan Mohamad Noor Salam Ab Jalil, 31, manakala pemandu kereta yang mereka naiki, Aden Fabian, 26, berasal dari Kampung Quop, Kuching.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, sembilan anggota termasuk dua anggota EMRS dari Balai Bomba dan Pengelamat (BBP) Sri Aman dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan berhubung insiden itu jam 6.38 petang.

“Setibanya di lokasi, didapati dua kenderaan iaitu Perodua Viva dan Proton Saga bertembung yang membabitkan tujuh mangsa.

“Dua penumpang bahagian belakang Perodua Viva sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum kehadiran bomba manakala dua lagi termasuk pemandu tersepit di dalam kenderaan dan disahkan maut di tempat kejadian.

“Seorang lagi mangsa yang dikejarkan ke Klinik Kesihatan Engkelili pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa yang cedera parah menerima rawatan lanjut di Hospital Sri Aman.

Impak pertembungan yang cukup kuat antara dua kereta ini mengakibatkan bahagian hadapan kedua-dua kenderaan mengalami remuk teruk.

Punca kemalangan masih dalam siasatan.

Loading...
Terkini