PUTRAJAYA: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) akan terus beroperasi walaupun kerajaan melantik tiga syarikat baharu untuk menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor (PPKM).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, PUSPAKOM adalah pusat pemeriksaan yang dilesenkan dan orang ramai masih boleh mendapatkan khidmat berkenaan di pusat itu.
“PUSPAKOM masih beroperasi. PUSPAKOM kita sudah bagi (kelulusan), maksudnya semua cawangan mereka yang sedia ada boleh teruskan (beroperasi).
“Cuma, bezanya ialah kita hendak memperkenalkan operator baharu supaya dalam perkhidmatan ini ada pilihan dan persaingan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pengumuman Pelantikan PPKM, di sini, hari ini.
Pelantikan tiga syarikat itu dibuat selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023 yang bersetuju untuk membuka perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) kepada syarikat-syarikat lain yang berkelayakan.
“Bagi fasa pertama, sebanyak tiga syarikat baharu membabitkan syarikat daripada Wawasan Bintang Sdn Bhd yang berada di Pelabuhan Klang, Selangor, Gua Musang, Kelantan dan Mersing, Johor.
“Syarikat kedua adalah Pakatan Petroleum Sdn Bhd yang berada di Rawang, Selangor dan Temerloh, Pahang, manakala satu lagi syarikat ialah Beriman Gold Sdn Bhd yang berada di Kuching dan Serian, Sarawak,” tambahnya.
Loke berkata, pelantikan berkenaan dibuat berdasarkan beberapa kriteria utama seperti syarikat mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dengan modal berbayar minimum RM10 juta, berstatus sendirian berhad dan pemilikan tempatan.
“Syarikat juga memenuhi kriteria utama seperti yang ditetapkan dalam Garis Panduan Permohonan PPKM dan lokasi yang dipohon adalah selari dengan senarai lokasi perkhidmatan PPKM yang sudah ditetapkan oleh MOT.
“Kertas kerja bagi permohonan yang dikemukakan menunjukkan potensi, kesediaan dan komitmen tinggi bagi memastikan kelulusan bersyarat yang diberikan dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Menurut Loke, hasil lawatan tapak mendapati lokasi yang dipilih adalah sesuai untuk operasi PPKM berdasarkan faktor keluasan, jarak dari kawasan perumahan, status pemilikan tanah serta zon penggunaan tanah memenuhi perancangan oleh PLAN Malaysia.
“Pelantikan syarikat ini meliputi kawasan di Semenanjung Malaysia (Wilayah Tengah, Timur, dan Selatan) serta Sarawak (Borneo),” katanya.
Dalam pada itu, Loke berkata, tawaran permohonan bagi PPKM dibuka pada 1 Julai 2024 sehingga 31 Oktober 2024 dan sepanjang tempoh terbabit, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerima sebanyak 12 permohonan daripada syarikat yang berminat untuk menjadi penyedia PPKM.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.