Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 3 sekolah di Kuala Berang ditutup akibat banjir

Pelajar-pelajar sedang dibawa keluar dari sekolah dengan bantuan anggota bomba balai Kuala Berang sebelum diserahkan kepada ibu bapa.

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

HULU TERENGGANU: Tiga sekolah di Kuala Berang, di sini, ditutup berikutan banjir.

Tinjauan mendapati, Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan, mula dinaiki air sedalam lebih dua meter.

Manakala, jalan utama ke Sekolah Menengah Agama Mahmudiah dan Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, digenangi air.

Ketika tinjauan dibuat, anggota bomba balai Kuala Berang sedang giat membantu membawa keluar pelajar-pelajar sekolah tersebut dan ditempatkan di Surau Batu 24 sebelum diserahkan kepada ibu bapa.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Balai Kuala Berang, Zulhisham Mohd Yusof, keadaan masih terkawal dan semua pelajar selamat.

“Kami menerima panggilan meminta bantuan untuk mengambil pelajar yang terkandas di kawasan sekolah dan pihak kami telah menyerahkan pelajar-pelajar terbabit kepada ibu bapa”,katanya.

Seorang pelajar Sekolah Menengah Agama Mahmudiah, Zidni Mohd Shahrul, 16, berkata, air mula menggenangi sekolahnya sejak semalam.

“Air dekat pagar sekolah dekat paras pinggang dan guru minta semua pulang ke rumah, Alhamdulillah dengan bantuan pihak bomba semuanya berjalan lancar,” katanya.

Manakala salah seorang bapa pelajar yang terkandas, Alias Ismail berkata, dia datang mengambil anaknya yang tinggal di asrama Sekolah Menengah Agama Mahmudiah selepas dihubungi anaknya.

“Anak saya telefon mintak datang ambil sebab air makin naik jadi bimbang perkara tidak diingini berlaku, saya terus bergegas ke sini dan mengambil anaklah,” ujarnya.

Hujan lebat berterusan menyebabkan banyak kawasan di Hulu Terengganu dinaiki air.

Setakat jam 10.00 pagi tadi, seramai 2,155 mangsa banjir dipindahkan di daerah terbabit dan ditempatkan di 34 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini