KOTA TINGGI: Seorang kanak-kanak perempuan menjadi yatim piatu apabila tiga ahli keluarganya termasuk bapa, maut dalam kemalangan.
Dalam kemalangan di Kilometer 45, Jalan Kota Tinggi – Mersing berhampiran simpang masuk Ladang Arami Jaya malam tadi, bapa Athiyyah Nur Sofia, 5, iaitu Muhamad Izuddin Md Yusuf, 36, maut bersama datuk dan neneknya Md Yusuf Mukhtar, 71, serta Rosnah Salleh, 65.
Bapa saudara mangsa, Mohd Nazim Md Yusuf, 42, berkata anak saudaranya itu merupakan anak tunggal dalam keluarga, dan baru sahaja kehilangan ibu tercinta dua tahun lepas akibat sakit.
Katanya, ketika kejadian kanak-kanak itu dalam keadaan sedar, manakala kedua datuk dan neneknya sudah meninggal dunia, sementara arwah adiknya juga masih sedar.
“Dia sempat bertanya mana nenek? Nenek kata nak belanja makan. Sedangkan ketika itu nenek dan datuknya sudah pun meninggal dunia.
“Athiyyah Nur Sofia memang sangat rapat dan manja dengan datuk dan nenek, kerana sudah tinggal di rumah datuknya sejak usia setahun lagi.
“Saya difahamkan ketika kejadian dia bersama bapanya dan mak ayah dalam perjalanan hendak keluar makan malam di Felda Tenggaroh,” katanya ketika ditemui di Felcra Sungai Ara di sini hari ini.
Mohd Nazim yang juga anak sulung dari enam beradik berkata, dia sempat memangku Muhamad Izuddin sejurus tiba di lokasi kemalangan.
Katanya sempat mengajar adiknya itu mengucap dua kalimah syahadah sebelum pihak ambulans membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Sebelum Isyak ada orang kampung yang datang memaklumkan kepada saya tentang kemalangan itu dan saya segera ke sana.
“Adik memang berulang alik dari Johor Bahru ke Felcra Sungai Ara setiap cuti hujung minggu Sabtu dan Ahad, untuk meluangkan masa bersama anaknya. Dia bekerja sebagai juruteknik di kilang penghawa dingin.
“Sejak isterinya meninggal dunia dua tahun lalu, adik berubah menjadi pendiam. Mak selalu juga menyuruhnya berkahwin baharu tetapi nanti dia akan merajuk bila ditanya soalan itu dan terus keluar ke kubur isterinya.
“Memang terkejut dan sedih dengan apa berlaku namun kami reda dengan pemergian mereka semua,” katanya.
Mohd Nazim memaklumkan ketiga-tiga jenazah akan dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felcra Sungai Ara, di sini.
Berhubung penjagaan Athiyyah Nur Sofia, dia dan adik beradik akan berbincang, malah katanya tidak kisah untuk menjadi penjaga kepada anak saudaranya itu yang memang rapat dengan isterinya.
“Saya akan berbincang lanjut dengan semua adik-beradik sama ada mahu mengambil tindakan lanjut, untuk menuntut keadilan di atas kehilangan nyawa tiga insan kesayangan kami,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata polis menerima maklumat kemalangan itu kira-kira pukul 8.30 malam melibatkan dua buah kereta jenis Toyota Vios dan Proton Persona.
Abdul Razak dilaporkan berkata siasatan awal mendapati kereta Toyota Vios yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berumur 28 tahun dari arah Kuantan menuju ke Johor Bahru dipercayai telah terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motokar Proton Persona dinaiki empat sekeluarga itu dari arah Kota Tinggi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.