MUAR: Tiga sekeluarga maut, manakala seorang cedera dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh, di sini, awal pagi tadi.
Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, isterinya Ara Abdul Hamid, 76, dan cucu mereka Noradriana Nor Hisyam maut dalam tragedi jam 1.30 pagi.
Tiga sekeluarga maut, manakala seorang cedera dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh, awal pagi tadi.
Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, isterinya Ara Abdul Hamid, 76, dan cucu mereka Noradriana Nor Hisyam maut dalam tragedi jam 1.30 pagi.
SUMBER:… pic.twitter.com/XX5zv1kez8
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) August 9, 2024
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata, seorang lagi cucu mereka Norazima Mohd Radhi, 14, cedera dan menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).
Beliau berkata, Mohamed Nor dan Ara ditemui meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Noradriana ketika menerima rawatan di HPSF.
“Menurut saksi kejadian berlaku sekitar jam lebih kurang 1.30 pagi membabitkan rumah separuh kayu dan batu dengan empat mangsa terbabit dalam kejadian itu.
“Sebaik menerima laporan itu, polis menggerakkan anggota ke lokasi yang turut disertai Bomba dan Penyelamat dan juga Klinik Kesihatan Pagoh,” katanya ketika dihubungi BH.
Raiz Mukhliz berkata, punca kejadian belum dikenal pasti dan kebakaran itu memusnahkan 85 peratus rumah didiami keluarga terbabit.
“Api berjaya dipadam pada jam 4.15 pagi dan mayat mangsa dibawa ke HPSF untuk bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh, Komander Operasi Mohd Fadli Ismail ketika dihubungi BH berkata, seorang mangsa berjaya diselamatkan orang awam.
Katanya, mereka cuba menarik keluar tiga lagi mangsa namun gagal disebabkan api sudah marak.
“Ketika diselamatkan, Noradriana masih bernyawa dan terus dibawa ke HPSF namun meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.