Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Lima sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila dua daripada tiga buah rumah dua tingkat separa kekal musnah dijilat api akibat disambar petir.
Kejadian berlaku di Kampung Gong Tok Nasek di Kuala Terengganu.
Lima sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila dua daripada tiga buah rumah dua tingkat separa kekal musnah dijilat api akibat disambar petir.
Kejadian berlaku di Kampung Gong Tok Nasek di Kuala Terengganu. pic.twitter.com/2gIHFReT8b
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) July 1, 2024
Menurut mangsa, Roslan Muhamad Kifli, 42 tahun, ketika kejadian dia berada di tempat kerja dan kedua ibu bapa serta adik beradiknya berada di dalam rumah.
Hujan lebat disertai dentuman guruh dan disusuli petir menyebabkan bekalan elektrik terputus.
Akibat kejadian itu, berlaku litar pintas sebelum rumah mereka terbakar dan merebak ke rumah bapa saudara bersebelahan rumah mereka.
Roslan bagaimanapun bersyukur ahli keluarganya selamat walaupun ada yang terpaksa terjun dari tingkat atas rumah untuk menyelamatkan diri.
“Adik telefon saya cakap api dan merebak besar dan abg terpaksa terjun dari tingkap”, katanya.
Sementara itu jiran mangsa Mohd Abdul Salam Mohamad Noh, 35 tahun berkata, dia melihat panahan petir mengenai salah satu rumah terlibat sebelum api merebak.
“Hujan lebat lepas tu tengok petir dan sambar rumah sebelum bekalan elektrik terputus tak sampai 10 minit api dah marak”, katanya.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu Rozizah Ibnu Hajar, 23 anggota bomba dan 3 jentera bergegas ke lokasi kebakaran mengambil masa 40 minit untuk mengawal kebakaran.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa