Tumpuan :
Nasional

3 rakyat Malaysia dipaksa jadi konco ‘scammer’ di Laos

Tiga rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Laos selamat tiba Terminal 2 KLIA hari ini. – Foto NSTP

SEPANG: Tiga rakyat Malaysia yang diperdaya sindiket pemerdagangan manusia di Laos, dipaksa menjadi konco ‘scammer’ untuk memperdaya rakyat negara ini melalui taktik ‘love scam’.

Selain rakyat Malaysia, ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 20-an dan berasal dari Melaka itu turut diarah memperdaya mangsa melalui taktik ‘job scam’ yang melibatkan rakyat Jerman, Perancis, England dan juga Amerika Syarikat (AS).

Perkara itu didedahkan mereka kepada pemberita sejurus tiba di tanah air, selepas diselamatkan daripada sindiket yang beroperasi di Zon Ekonomi Khas Segi Tiga Emas (GTSEZ) di Laos.

Terdahulu, mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Rai di Thailand dengan diiringi wakil Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Azirul Syafiq Sazali, tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur jam 6.30 petang tadi.

Berdasarkan maklumat, ketiga-tiga mereka terpedaya dengan sindiket kerja yang diiklan di Facebook menjanjikan gaji antara RM4,000 hingga RM9,000 sebulan sebagai pegawai perhubungan pelanggan di Thailand, sebelum dibawa ke Laos.

Mangsa yang hanya ingin dikenali Fikri, 20, berkata dia tertarik dengan kerja diiklankan di Facebook dan bertolak ke Dubai pada Mac lalu, sebelum tinggal di sana selama sebulan tanpa melakukan sebarang pekerjaan.

Selepas sebulan tidak bekerja, katanya dia meminta wakil sindiket menghantarnya pulang ke Malaysia, namun diarah membayar tebusan RM10, 000 hingga RM20,000.

“Selepas itu saya dibawa ke Laos untuk dijadikan scammer… kadang kala gaji diterima tidak berbaki selepas banyak dipotong untuk membayar saman kerana tidak mencapai sasaran.

“Di sama juga, kami terpaksa menjamah makanan tidak halal demi kelangsungan hidup,” katanya.

Setiausaha Agung MHO,Datuk Hishamuddin Hashim, berkata pihak sindiket meminta wang tebusan RM80,000 daripada mangsa, namun MHO berjaya membawa mereka pulang tanpa membayar tebusan melalui perundingan dengan wakil sindiket.

“Selain tiga mangsa itu, sembilan lagi rakyat Malaysia dijangka dibawa pulang ke tanah air minggu depan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini