Tumpuan :
Nasional

3 premis usia lebih 100 tahun musnah terbakar di Kuantan

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran membabitkan tiga premis perniagaan di Jalan Besar, Kuantan. – Foto NSTP

KUANTAN: Tiga premis perniagaan berusia lebih 100 tahun di pusat bandar raya ini musnah dalam kebakaran, petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, berkata tiga premis di Jalan Besar itu membabitkan kedai yang menjalankan perniagaan karpet, pengurup wang dan kedai runcit.

Beliau berkata, sejumlah 43 pegawai dan anggota dari empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu Kuantan, Indera Mahkota, Taman Tas dan Gebeng dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 4.45 petang.

Empat jentera pemadam dan dua lori tangki air turut terbabit dalam operasi ini.

“Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. Kebakaran tidak membabitkan mangsa,” katanya.

Pemilik kedai runcit, Sulaiman Abdul Aziz, 57, ketika ditemui berkata sewaktu kejadian dia dalam perjalanan ke kedai selepas menunaikan solat Asar di Masjid Negeri Sultan Ahmad Satu di sini.

“Ketika itu saya nampak asap dan percikan api di bahagian belakang kedai dan kejadian berlaku sangat pantas.

“Hanya beberapa dokumen sempat diselamatkan, namun saya bersyukur tiada kecederaan membabitkan pekerja,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini