Tumpuan :
Nasional

3 pintu masuk sah dari Kelantan ke Thailand

Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang, Kelantan. – FOTO: NSTP

SUNGAI GOLOK: Pihak berkuasa Thailand hanya membenarkan pelancong Malaysia menggunakan tiga pintu masuk untuk masuk ke negara itu.

Komander Tentera Bahagian Keempat Thailand, Mejar Jeneral Paisan Nusang berkata, tiga pintu masuk itu adalah di Sungai Golok yang bersempadan dengan Rantau Panjang, Tak Bai dengan Pengkalan Kubor dan Buketa dengan Bukit Bunga.

Beliau mengeluarkan amaran itu berikutan tindakan tegas polis Malaysia di Kelantan terhadap rentas sempadan menggunakan jeti haram yang bermula pada 1 Disember lalu.

“Saya sedar rakyat kedua-dua negara sudah menggunakan laluan haram di sepanjang sempadan untuk kehidupan seharian mereka. Ini sudah menjadi budaya mereka sejak berpuluh tahun.

“Sebab itu beberapa lokasi sempadan di sini dipasang dengan pagar keselamatan dan kami diberitahu langkah itu menjejaskan aktiviti harian kedua-dua warganegara tetapi mereka perlu mengikut peraturan.

“Saya melihat penguatkuasaan ketat di kawasan sempadan oleh polis Kelantan sejak 1 Disember lalu memberi kesan positif kepada aktiviti penyeludupan di kawasan itu. Sebab itu saya menegaskan rentas sempadan menggunakan tiga pintu masuk yang sah,” katanya.

Bercakap dalam wawancara khas dengan media Malaysia di Songkhla semalam, Paisan berkata beliau bercadang untuk membincangkan lebih lanjut isu ini dengan rakan sejawatannya di Kelantan tidak lama lagi.

“Penduduk sempadan di Thailand dan Malaysia adalah seperti saudara. Majoriti mereka sudah menyeberang hampir setiap hari,” katanya.

Mengenai jumlah rakyat Thailand yang ditahan sejak tindakan keras itu, beliau berkata setakat ini, empat warga Thailand ditahan ketika mereka menyeberang ke Kelantan melalui jeti haram di sepanjang sungai Golok.

“Kami sedang menunggu pihak berkuasa Kelantan menyelesaikan siasatan terhadap kes itu dan akan mengambil tindakan seterusnya terhadap keempat-empat mereka nanti.

“Tentera Thailand juga sudah meningkatkan keselamatan mereka di sepanjang sempadan berikutan tindakan keras itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Paisan berkata pendatang tanpa izin dari Myanmar terutama etnik Rohingya dan Kemboja menggunakan Thailand sebagai transit untuk mereka melarikan diri ke Malaysia.

“Tidak seperti situasi penyeludupan dadah, sindiket penyeludupan manusia menggunakan Thailand sebagai lokasi transit mereka sebelum mereka diseludup keluar ke Malaysia melalui Sungai Golok,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini