Tumpuan :
Nasional

3 penyampai radio kini disiasat polis – KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan terhadap kakitangan sebuah stesen radio milik Astro kerana disyaki mempersenda upacara agama lain menerusi media sosial pagi tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata pihaknya menerima enam laporan di seluruh negara berkaitan kes itu.

Beliau berkata, laporan awal dibuat seorang jurutera berusia 44 tahun yang melihat satu hantaran video di aplikasi Facebook memaparkan beberapa individu daripada pihak stesen radio terbabit didakwa mempersendakan agama Hindu.

“Beberapa individu daripada radio terbabit didakwa bersorak perkataan ‘Vel, Vel’, manakala seorang lelaki sedang menari.

“Pengadu membuat laporan polis kerana perkara itu mempersendakan agama Hindu dan sensitiviti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Razarudin berkata, semakan terhadap video asal yang dimuat naik oleh pemilik stesen radio terbabit sudah dipadamkan dan mereka turut mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka melalui laman rasmi aplikasi Facebook stesen radio itu.

“Video itu telah ditonton 95,400 tontonan dan dikongsi sebanyak 204. Susulan itu, kita menjalankan siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Komunikasi mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menjalankan siasatan terperinci mengenai aduan kakitangan stesen radio milik Astro mempersenda upacara agama lain menerusi media sosial pagi tadi.

Menterinya, Fahmi Fadzil dilapor berkata, antara lain MCMC juga perlu memanggil semua yang terlibat termasuk pihak Astro dan pengurusan stesen berkenaan hadir ke ibu pejabat agensi berkenaan bagi memberikan penjelasan penuh.

“Kami sudah menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan kakitangan stesen radio milik Astro mempersenda upacara agama lain yang dimuat naik dalam platform media sosial pagi tadi.

“Jadi, saya arahkan MCMC menjalankan siasatan terperinci termasuk memanggil pihak Astro dan pengurusan stesen radio itu hadir memberi penjelasan lanjut di ibu pejabat MCMC” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini