comscore
Tumpuan :
Nasional

3 penuntut UiTM Dungun maut, 1 cedera parah dirempuh SUV

FOTO: NSTP

DUNGUN: Tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Dungun dilaporkan maut, manakala seorang lagi parah, selepas dirempuh sebuah Kenderaan Utiliti Sukan (SUV).

Kejadian berlaku di Kampung Sura Hujung berhampiran universiti itu kira-kira jam 8.00 malam tadi.

Ketika kejadian, empat pelajar yang menunggang dua buah motosikal dirempuh sebuah SUV jenis Honda CRV yang dipandu oleh seorang wanita berusia dalam lingkungan 40-an.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Ku Adib Aizab Ku Azmi,20, adalah pelajar jurusan Ijazah Perhotelan manakala Khairil Anuar Jamaluddin,20, dan Mohd Akhmal Tukirin,20, merupakan pelajar Ijazah Perakaunan.

Rakan mereka yang parah dikenali sebagai Mohd Ammar Danish Mohd Rodhuan,20.

Kesemua mangsa yang menunggang dua buah motosikal jenis Yamaha LC 135 dan Y15.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Shahrizal Shamsudin berkata, pihaknya terima panggilan kira-kira jam 7.26 petang bersama 10 anggota dan dua EMRS bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, mayat seorang mangsa yang terjatuh ke dalam longkang itu dibawa naik anggota bomba.

“Kesemua mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang dipanggil ke tempat kejadian.

“Mayat kesemua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini