KUALA LUMPUR: Kipas pengalir udara tidak dibuka dikenal pasti punca tiga individu pengsan akibat terhidu asap dan gas di sebuah restoran makanan segera di Pandan Jaya, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata ketika kejadian, tiga pekerja di restoran terbabit sedang menggoreng ayam, namun kipas pengalir udara tidak dibuka.
“Keadaan itu menyebabkan kandungan gas karbon dioksida dan karbon monoksida yang melebihi kandungan gas oksigen tidak dapat dialirkan keluar dari ruang dapur restoran terbabit.
“Akibat kejadian itu, dua pekerja restoran pengsan dan seorang lagi pekerja dalam keadaan lemah. Seorang pembantu perubatan turut pengsan ketika memberi bantuan kepada mangsa.
“Seorang lagi pembantu perubatan dan pemandu ambulans dari Hospital Ampang (HA) juga terkesan akibat kejadian itu, namun masih sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Mohamad Farouk berkata, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menerima panggilan MERS999 daripada pihak bomba meminta bantuan polis berhubung kejadian kebocoran gas di restoran terbabit pada jam 9.56 pagi tadi.
“Bertindak atas maklumat, pihak polis bersama Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Selangor dan Kuala Lumpur serta pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah dan pasukan perubatan HA bergegas ke tempat kejadian.
“Semua mangsa kemudian dikejarkan ke HA untuk rawatan selanjutnya. Semua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Kes diklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Agensi (RLA) kepada HAZMAT dan pasukan bomba untuk tindakan lanjut,” katanya.
Susulan itu, Mohamad Farouk turut menasihati pengusaha restoran dan restoran makanan segera supaya mematuhi serta melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan keselamatan yang ditetapkan pihak pengurusan bagi mengelak kejadian tidak diingini. -BERITA HARIAN