Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan Perintah Larangan terhadap tiga penerbitan yang didapati mungkin memudaratkan kemoralan.
Dalam satu kenyataan KDN berkata, Perintah Larangan itu berkuat kuasa pada 21 dan 22 Januari 2025 di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].
Menurut kenyataan itu, penerbitan yang diharamkan ialah:
1. “My Shadow Is Purple” oleh Scott Stuart, melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) 2025 [P.U.(A) 26] berkuat kuasa pada 21 Januari 2025.
2. “Koleksi Puisi Masturbasi” oleh Amir Hamzah bin Akal Ali (Benz Ali), melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 2) 2025 [P.U.(A) 31] berkuat kuasa pada 22 Januari 2025.
3. “All That’s Left In The World” oleh Erik J. Brown, melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 3) 2025 [P.U.(A) 32] berkuat kuasa pada 22 Januari 2025.
KDN menjelaskan bahawa larangan itu dibuat berdasarkan konsep kawalan dan pencegahan bagi mengelakkan sebarang ancaman terhadap kemoralan masyarakat sebelum ia berlaku.
Selaras dengan subseksyen 7(1) Akta 301, sebarang aktiviti berkaitan penerbitan ini seperti pencetakan, pengedaran, dan pemilikan adalah dilarang sepenuhnya di Malaysia.
“Perintah Larangan di bawah Akta 301 ini adalah berasaskan konsep kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku.
Dalam masa yang sama, masyarakat turut mendapat pendedahan dan kesedaran mengenai hasil-hasil penerbitan yang tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan umum,” katanya.
Mereka yang didapati melanggar perintah ini boleh dikenakan hukuman di bawah subseksyen 8(2) Akta 301, dengan denda sehingga RM20,000, hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
KDN menegaskan bahawa kerajaan komited dalam memastikan kawalan terhadap bahan penerbitan yang boleh mempengaruhi kemoralan masyarakat serta memastikan keharmonian negara terus terpelihara.
Maklumat lanjut mengenai penerbitan yang diharamkan boleh diakses di laman sesawang rasmi KDN di www.moha.gov.my atau melalui portal Perundangan Persekutuan di https://lom.agc.gov.my/.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.