SEMPORNA: Tiga pemancing mendakwa dirompak sekumpulan empat lelaki berpakaian celoreng ala tentera di kawasan perairan antara Pulau Boheyan dan Pulau Siamil, dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.10 pagi Sabtu minggu lalu, tiga pemancing berkenaan difahamkan dalam perjalanan dari pekan Semporna menuju ke arah Pulau Mataking untuk memancing sebelum terserempak sebuah bot warna hitam sedang memeriksa sebuah bot awam.
Menurut sumber, tidak lama kemudian, bot dinaiki kumpulan pemancing berkenaan dihampiri bot hitam terbabit sebelum mereka diarah menghentikan bot untuk tujuan pemeriksaan.
Seorang daripada pemancing berkenaan berumur 31 tahun mendakwa melihat empat lelaki berpakaian baju T celoreng dan berseluar hijau. Semasa pemeriksaan, seorang daripada suspek mengarahkan tiga pemancing itu mengeluarkan kad pengenalan serta semua barang dalam beg termasuk wang.
Salah seorang suspek kemudian mengambil wang keseluruhannya berjumlah RM1,800, manakala seorang lagi mengambil 16 tong mengandungi minyak petrol sebelum beredar dari lokasi kejadian dengan bot gentian dipacu dua enjin 200 kuasa kuda tanpa nombor pendaftaran.
Mangsa membuat laporan di Balai Polis Pulau Bum Bum, kira-kira jam 3.50 pagi pada 15 Disember lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, ketika dihubungi BH mengesahkan polis sudah membuat tangkapan dan kes masih dalam siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.