Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA NERUS: Tiga pekerja wanita sebuah restoran makanan segera di Dataran Austin di sini dikejarkan ke hospital pagi tadi selepas terhidu gas petroleum cecair (LPG) yang dipercayai bocor.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 9.30 pagi itu melibatkan pekerja tempatan berusia lingkungan 20-an.
Menurut seorang saksi kejadian, Nur Shakira Mohd Zahari, 26, dia bergegas membantu mangsa setelah dimaklumkan oleh seorang pekerja restoran tersebut.
“Saya baru sampai kerja, ada staf datang minta tolong. Dia kata tiga orang staf dah pengsan. Saya terus datang dan minta pekerja lain bantu angkat mangsa sementara menunggu ambulans sampai. Dua daripada mereka ketika itu mulut berbuih,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Azmi Omar berkata, sembilan anggota bersama sebuah jentera bomba dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 9.48 pagi.
“Pada peringkat awal, kami mengenal pasti kemungkinan ada kebocoran gas LPG. Untuk mengesahkannya, kami membuat ujian ‘cube ice’ sambil menunggu Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Jerteh untuk siasatan terperinci. Ini bagi menentukan sama ada kebocoran berpunca daripada peti sejuk, ammonia, atau gas LPG,” jelasnya.
Kesemua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Pihak bomba kini sedang menjalankan siasatan bagi memastikan punca sebenar kejadian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.