Tumpuan :
Nasional

3 nelayan hilang sejak Khamis lalu belum ditemui

Operasi SAR bagi mengesan tiga nelayan hilang diteruskan pada hari ketiga, pagi tadi. – Foto fail NSTP

ALOR SETAR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga nelayan termasuk dua beranak yang hilang sejak mereka keluar ke laut Khamis lalu diteruskan pada jam 7.30 pagi tadi.

Setakat ini, usaha mengesan Asrulhisham Zainon, 47 dan anaknya, Shahril Aiman Asrulhisham, 16, serta seorang awak-awak, Mohamad Al-Amin Sufian, 29, masih belum menemui sebarang petunjuk.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis, Romli Mustafa berkata, operasi SAR memasuki hari ketiga hari ini membabitkan aset udara dan sebuah kapal milik Maritim Malaysia, bot ronda Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Beliau berkata, operasi pencarian dilakukan pada keluasan sektor pencarian sejauh 371.28 batu nautika persegi.

“Setakat ini tiada sebarang petunjuk diperoleh di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan tiga nelayan dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke pangkalan dari melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat rawai, sejak petang Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail ketika dihubungi BH semalam mengesahkan kehilangan ketiga-tiga individu terbabit selepas adik mangsa menyedari abang dan anak saudara serta pekerja mereka tidak pulang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini