RANAU: Tiga pekerja kontrak maut akibat terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja pemasangan panel solar dalam kejadian di sebuah bangunan pejabat di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi, tiga lelaki dikenali sebagai Wong, 54, Salleh, 34, dan Gimbal, 24, disahkan maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi rakan mereka terselamat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintenden Ediansah Edal memaklumkan, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu pada jam 11.11 pagi.
“Mangsa sedang menjalankan kerja pemasangan panel solar menggunakan perancah besi pada ketinggian 12 meter. Ketika pemasangan, panel solar tersebut tersentuh kabel bervoltan tinggi Sabah Electricity, iaitu 11,000kV,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.46 pagi.
“Pasukan bomba bertindak mengalihkan mangsa ke tempat selamat dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya,” katanya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya selepas pihak bomba mengesahkan tiada ancaman bahaya di lokasi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.