SIBU: Tiga maut manakala seorang lagi parah selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dinaiki terbabas lalu merempuh sebatang pokok tepi jalan dalam kemalangan di Jalan Deshon, di sini, pagi tadi.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Tiong Meng Eng, 22; Bryan Lau Pick Sing, 27; dan seorang lagi mangsa wanita yang belum dapat disahkan identiti.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak berkata, ketiga-tiga mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya, seorang lagi mangsa wanita berusia 23 tahun dilaporkan parah.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung insiden pada jam 11.34 pagi.
“Sejurus sampai di lokasi, kami dapati berlaku kemalangan kendiri membabitkan sebuah pacuan empat roda Ford Raptor yang melanggar sebatang pokok besar di tepi jalan.
“Pemeriksaan mendapati terdapat empat mangsa masih terperangkap dalam kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Jurucakap itu berkata, pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan kesemua mangsa yang terperangkap dalam kenderaan dalam masa setengah jam dan sejurus berjaya dikeluarkan, pasukan KKM yang menjalankan pemeriksaan ke atas mangsa mengesahkan tiga daripada mereka sudah meninggal dunia.
Katanya, pasukan perubatan pada masa sama memberikan rawatan awal buat seorang mangsa yang parah sebelum menghantarnya ke Hospital Sibu bagi rawatan lanjut.
Mayat ketiga-tiga mangsa yang meninggal dunia itu kemudian diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.