KOTA TINGGI: Tiga lelaki maut selepas kereta yang dinaiki terbabas dan masuk ke dalam kolam takungan air di Ladang YPJ, Ulu Sedili di sini, petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Shawaluddin Ami Nordin memaklumkan mangsa yang maut dikenali sebagai Lee Choy Yeow, 49, Leong Kon Fatt, 72 dan Lee Fook Wan yang umur tidak dapat dipastikan.
Katanya pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada 4.40 petang.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) ke tempat kejadian berlaku kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kenderaan terbabas dan masuk ke kolam takungan banjir.
“Terdapat tiga mangsa terbabit, seorang mangsa telah ditemui dan dua lagi hilang, PKO membuat kaedah mencari di permukaan di sekitar kawasan.
“Operasi menyelamat dilakukan oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dengan menggunakan kaedah ‘sweeper’ dan ‘focus point’. Mangsa kedua ditemui lebih kurang jam 11.10 malam dan mangsa ketiga dijumpai jam 12.10 tengah malam oleh pasukan PPDA,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Shawaluddin, kesemua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi tamat pada jam 12.40 tengah malam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.