RANTAU PANJANG: Tiga lelaki, termasuk pengendali bot ditahan selepas dikesan menggunakan pangkalan haram untuk keluar masuk Malaysia-Thailand.
Ketiga-tiga individu itu ditahan oleh Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira jam 4 petang semalam di pangkalan hadam Pohon Jambu di sini.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata tangkapan dilakukan selepas pihaknya menahan sebuah bot dari Thailand ketika menjalankan tugas dalam Op Taring Wawasan.
“Pemandu bot cuba melarikan diri, namun berjaya diberkas. Hasil pemeriksaan terhadap semua suspek tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang.
Ketiga-tiga mereka, termasuk pengendali bot adalah penduduk tempatan yang dikesan masuk ke Malaysia melalui jalan tidak sah.
“Suspek ditahan bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan di sini.
Beliau berkata, PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan rentas sempadan secara haram dari terus berleluasa di sempadan negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.