Kota Kinabalu: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan tiga lelaki menyeludup minuman keras tidak bercukai dari Labuan bernilai RM900,000.
Ketiga-tiga mereka ditahan menerusi Op Kontraban yang dijalankan di sebuah rumah Kampung Bintuka, Beaufort, di sini, kelmarin.
Dalam operasi jam 4.30 petang itu, sumber memberitahu sepasukan pegawai dan anggota PPM Labuan membuat serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.
“Ketika serbuan, pasukan menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori di hadapan rumah berhampiran sungai yang disyaki menyimpan minuman keras tidak bercukai.
“Tiga lelaki yang berada di dalam kenderaan ditahan dan soal siasat mengakui ingin memasuki rumah itu dan mengambil minuman keras tidak bercukai untuk dibawa keluar,” katanya.
Menurut sumber itu juga, hasil pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu menemui pelbagai minuman keras dipercayai diseludup ke Sabah dari Labuan tanpa melalui jalan yang diwartakan.
“Nilai keseluruhan rampasan minuman keras berjumlah RM900,000 termasuk cukai,” katanya.
Sementara itu, Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan berkenaan.
Katanya, tangkapan dan semua rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk tindakan lanjut.