Tumpuan :
Nasional

3 lelaki disyaki jual dadah kepada pengunjung konsert Pinkfish ditahan

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan. – Foto fail NSTP

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

PETALING JAYA: Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai menjual dadah terkait dengan kematian empat individu yang menghadiri konsert Pinkfish, Disember lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua mereka yang berusia 20-an hingga 30-an ditahan di sekitar Selangor, baru- baru ini.

“Dia penjual, sama ada dalam skala kecil, mereka jual secara individu. Daripada tiga itu, seorangnya berada dalam konsert, jual di dalam konsert tapi ada juga mereka mangsa-mangsa ini yang beli dari luar dan bawa masuk dalam konsert,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Kempen dan Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baharu Cina 2025, di Plaza Tol PJS 2, Lebuhraya Pantai Baru NPE, hari ini.

Dalam perkembangan sama, katanya hasil bedah siasat terhadap empat mayat mengesahkan terdapat penggunaan MDMA (ekstasi), selain tiga lagi mangsa yang dirawat, disahkan mengambil bahan terlarang sama.

Dalam pada itu, polis juga akan menempatkan pasukan narkotik di setiap penganjuran konsert di Selangor, dalam memastikan pengunjung bebas dari pengambilan bahan terlarang.

“Memang akan ada penguatkuasaan polis dalam setiap penganjuran konsert untuk mengelakkan sebarang pengedaran dadah dalam konsert tersebut, mahupun penggunaan dadah oleh mana-mana individu.

“PDRM akan bersama pihak berkuasa tempatan dalam masa terdekat untuk menggariskan prosedur yang lebih ketat, kita juga akan adakan sesi bersama operator untuk menjelaskan perkara-perkara yang perlu dielakkan penganjur dan tindakan yang perlu diambil sekiranya tahu menganjurkan konsert,” katanya.

Selain itu, polis juga mencadangkan untuk menghadkan pengunjung konsert mengikut lokasi, kesesuaian dan keluasan tempat penganjuran dan kesediaan penganjur menyediakan pasukan bantuan kecemasan.

Dalam kejadian 31 Disember lalu, empat maut manakala tiga lagi mendapatkan rawatan selepas menghadiri konsert Pinkfish di Bandar Sunway.

Siasatan awal polis mendapati empat mangsa yang meninggal dunia selepas menghadiri konsert itu disyaki terbabit dalam pengambilan dadah jenis ekstasi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini