comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 3 lelaki bersenjatakan lastik, kuku kambing pecah masuk stesen minyak 

Cermin stesen minyak yang pecah akibat dilastik sebelum dipecah masuk oleh suspek dalam kejadian di Pekan Sook, Keningau. – FOTO: Ihsan PDRM

KENINGAU: Tiga lelaki diburu polis susulan kejadian memecah masuk sebuah stesen minyak di Pekan Sook, di sini.

Kejadian berlaku ketika stesen minyak berkenaan tidak beroperasi iaitu iaitu kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Perbuatan suspek itu sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) milik premis terbabit.

Difahamkan, akibat kejadian berkenaan, stesen minyak itu mengalami kerugian lebih RM4,500 membabitkan kehilangan wang tunai, rokok jualan dan telefon bimbit.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata berdasarkan rakaman CCTV, kes berkenaan melibatkan seramai tiga suspek yang menaiki sebuah kereta Perodua Bezza.

“Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan adalah palsu dan didaftarkan atas kenderaan lain.

“Ketika kejadian, ketiga-tiga suspek dirakam memakai jaket, berseluar panjang dan sarung tangan serta pelitup muka,” katanya.

Yampil berkata, siasatan lanjut mendapati, ketika kejadian, senjata yang diguna adalah lastik dan kuku kambing.

“Salah seorang suspek melastik pintu kaca hadapan kedai sehingga pecah sebelum dua suspek masuk ke dalam kedai untuk mencuri.

“Usaha mengesan ketiga-tiga suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah masuk premis,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini