PUTRAJAYA: Kehilangan atau kerugian wang awam, pembayaran tidak teratur dan pembaziran.
Sejumlah RM158.08 juta pembaziran, kehilangan, pembayaran tidak teratur dan kerugian wang awam dikesan berlaku di tiga kementerian dan empat jabatan persekutuan yang diaudit oleh Jabatan Audit Negara bagi 2021.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid, berkata tiga kementerian terbabit adalah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI); Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) dan Kementerian Pertahanan manakala empat jabatan terbabit adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Beliau berkata pengauditan pematuhan itu membabitkan jumlah semakan audit sebanyak RM1.127 bilion.
Katanya, pengauditan itu dibahagikan kepada kategori Terimaan dengan jumlah semakan sebanyak RM78.86 juta dan kategori Bayaran dengan jumlah semakan RM1.048 bilion.
“Isu yang membabitkan kehilangan atau kerugian wang awam adalah sejumlah RM116.95 juta, pembayaran tidak teratur sejumlah RM26.03 juta dan pembaziran sejumlah RM15.10 juta.
“Ketua Audit Negara mengemukakan 22 syor untuk tindakan penambahbaikan oleh kementerian dan jabatan persekutuan berkaitan,” katanya pada sidang media Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2, di sini, hari ini.
Beliau berkata secara keseluruhannya, terdapat kelemahan dalam kutipan duti kastam bagi kenderaan import di Pulau Bebas Cukai (PBC)) dengan duti kastam berjumlah RM72.32 juta terkutip kurang disebabkan syarat pemastautin dan pemilikan kenderaan tidak dipatuhi serta pengiraan duti eksais tidak tepat,” katanya.
Beliau berkata, audit itu dijalankan di Langkawi dan Labuan.- Berita Harian