SIK: Tiga keluarga di Kampung Charuk Tenang di sini, mengalami detik cemas terperangkap dalam rumah selepas kediaman mereka dinaiki air sehingga paras pinggang kira-kira jam 10 malam tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Malaysia Daerah Sik, Left (Pertahanan Awam) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat selama empat jam di kawasan hulu Sik yang menyebabkan banjir kilat.
“Pusat Kawalan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sik menerima panggilan kecemasan daripada seorang mangsa yang meminta bantuan dipindahkan ke tempat selamat selepas terperangkap dalam banjir.
“Susulan hujan berterusan malam tadi sehingga jam 3 pagi, semua mangsa yang terjejas dari tiga rumah itu berjaya dipindahkan ke lokasi selamat,” katanya.
Haisul Aishah berkata, beberapa kampung lain turut dilaporkan mengalami banjir kilat malam tadi, termasuk Kampung Bendang Man, Chepir, Jerai di hulu Sungai Chepir, serta Lubuk Tualang di hulu Sungai Charuk Tebal.
“Ada keluarga berpindah sementara ke surau Kampung Lalang, manakala tiga keluarga lain dilaporkan berpindah ke Balai Islam Kampung Tanjung Belit.
“Bagaimanapun, selepas air surut, mangsa terbabit sudah pulang ke rumah masing-masing pagi ini untuk membersihkan kediaman mereka,” katanya.
Sementara itu, seorang daripada mangsa, Nong Nart Bua Fon, 40 tahun, berkata, ini kali pertama beliau berdepan detik cemas selepas hampir 20 tahun menetap di situ.
“Air sangat deras memasuki rumah hingga sampai paras pinggang.
“Ketika itu saya dalam rumah bersama dua anak lelaki berusia 11 dan tujuh tahun, manakala suami serta anak sulung menziarahi kematian di tempat lain,” katanya.
Katanya, dua rumah berhampiran turut dinaiki air banjir, menyebabkan mereka berpindah ke rumah saudara yang tidak terjejas, tidak jauh dari situ.
“Sebuah rumah didiami sepasang suami isteri warga emas, manakala sebuah lagi didiami empat ahli keluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun,” katanya.– BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa