Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Tiga jawatankuasa kabinet di bawah kesihatan digabungkan menjadi Jawatankuasa Kabinet Kesihatan Nasional.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet menangani denggi yang dipengerusikannya.
“Mesyuarat memutuskan penstrukturan tadbir urus sedia ada Jawatankuasa Kabinet di bawah Kementerian Kesihatan iaitu menggabungkan tiga Jawatankuasa Kabinet di bawah Kesihatan iaitu Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi, Jawatankuasa Kabinet Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Jawatankuasa Khas Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Kanak-Kanak.
“Jawatankuasa ini dikenali sebagai Jawatankuasa Kabinet Kesihatan Nasional yang akan diadakan sebanyak tiga kali setahun.” menurutnya dalam satu kenyataan.
Terdahulu dalam mesyuarat itu, beliau memaklumkan terdapat penurunan bagi kes denggi pada tahun ini.
“Sehingga Minggu Epidemiologi ke-04 (25 Januari 2025), secara kumulaitf, sebanyak 5,537 kes demam denggi dan tiga kematian telah direkodkan berbanding 14,458 kes dan sembilan kematian pada tempoh yang sama tahun 2024 iaitu penurunan kes denggi sebanyak 61.7 % dan kematian sebanyak 66.7%.
“Penurunan ini adalah hasil daripada usaha bersepadu pelbagai pihak, termasuk kementerian, jabatan, agensi, sektor swasta, Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta masyarakat, yang berganding bahu memastikan persekitaran sentiasa bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes.” ujarnya.
Bagi mengawal masalah denggi, pihaknya menggariskan lima langkah pencegahan, antaranya meneruskan pengoperasian pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia dengan penambahan 10 lokaliti baharu setiap tahun serta memperluaskan di negeri-negeri lain.
“Pada masa ini hanya lapan negeri yang telah melaksanakan iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya, Pulau Pinang, Kelantan, Melaka, Johor, Pahang dan Negeri Sembilan.
“Selain itu, Kerajaan Negeri perlu mengambil maklum dan dapat mempertimbangkan inisiatif projek Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk dilaksanakan di negeri masing masing.” tambahnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.