Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Tiga jalan di Presint 9 di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan akan ditutup sepanjang proses penamaan calon bagi Parlimen Putrajaya sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) esok.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata, penutupan jalan itu membabitkan jalan Presint 9C bermula lampu isyarat Petronas 9D sehingga lampu isyarat Jalan P9C/1 (Fasa 8) dan Jalan Presint P9A bermula dari Petronas P9A hingga Jalan Presint P9C.
“Turut ditutup Jalan Presint 9F bermula dari Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(1) atau Klinik Kesihatan Presint 9 hingga Jalan Presint P9C. Penutupan jalan-jalan itu akan dibuat secara berperingkat mulai jam 8.00 pagi hingga jam 1.00 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pengguna jalan raya yang terjejas terutama penghuni Fasa 10 dan Fasa 11 Presint 9 dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif ke destinasi masing-masing serta dinasihatkan supaya patuh dan akur kepada arahan pihak polis yang bertugas.
Pusat Penamaan Calon (PPC) bagi kerusi P125 Putrajaya bertempat di Kompleks Kejiranan Presint 9.
Sementara itu, ACP A. Asmadi berkata, seramai 269 pegawai kanan dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya akan diatur gerak semasa hari penamaan calon.
Beliau turut menasihatkan semua calon yang akan bertanding dan penyokong parti mematuhi segala undang-undang serta akur akan peraturan dan tidak melakukan kesalahan yang boleh mengganggu gugat kelancaran proses pada hari penamaan calon.
Calon dan wakil calon juga dikehendaki mengawal emosi penyokong untuk tidak menimbulkan sebarang provokasi terhadap peyokong parti lain.
“Calon dan wakil sama sekali tidak dibenarkan mengadakan sebarang perarakan atau konvoi kenderaan untuk mempamerkan kehebatan parti. Penyokong yang mengiring calon dilarang sama sekali menunggu atau berada di dalam zon 50 meter dari sempadan PPC yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan alat pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk penggunaan suara dari kenderaan juga adalah tidak dibenarkan sama sekali semasa berada di PPC.
Penyokong turut dinasihatkan supaya mengamalkan konsep berkempen secara sihat dan penuh kematangan demi menjaga keharmonian penduduk Putrajaya.
“Permohonan permit berkempen perlu dibuat awal mengikut masa yang ditetapkan kepada Inspektor Pelesenan Ibu Pejabat Polis Daerah.
Penggunaan Dron adalah dilarang sama sekali kecuali mendapat kebenaran daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
“(Calon, wakil dan penyokong) dilarang membuat hantaran atau menular kandungan yang tidak benar dan boleh mendatangkan fitnah dan ketidakharmonian, selain dilarang membawa sebarang senjata berbahaya,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 5 November sebagai hari penamaan calon bagi PRU-15, manakala hari pengundian ditetapkan pada 19 November dan hari pengundian awal ialah pada 15 November ini.