Tumpuan :
Nasional

3 destinasi pelancongan Malaysia antara 10 carian popular di Asia Pasifik

Pulau Langkawi destinasi pelancongan ketujuh dicari dalam Google Flights untuk percutian musim panas. Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Tiga destinasi pelancongan di negara ini tersenarai dalam 10 kedudukan teratas paling banyak carian untuk dikunjungi pada musim panas ini.

Berdasarkan dapatan analisis menerusi carian Google Flights, Kota Kinabalu berada di kedudukan keenam paling banyak carian, disusuli Pulau Langkawi (ketujuh) dan Kuala Lumpur (kesembilan).

Google Flights adalah platform yang membantu orang awam untuk mencari destinasi, menjejak harga dan menempah penerbangan.

Dapatan itu hasil analisis diperoleh menerusi jumlah pertanyaan tertinggi yang direkodkan sekitar Jun hingga Ogos tahun ini.

Manakala dua destinasi pelancongan terkemuka Korea Selatan dan Jepun, iaitu Seoul serta Osaka, masing-masing berada di kedudukan kelapan dan ke-10.

Ketua Industri Penerbangan Google Malaysia, Nick Drew, berkata dengan keterujaan orang ramai untuk ‘terbang’ melancong, Google Flights boleh membantu rakyat Malaysia merancang jadual perjalanan dan pelancongan mereka pada masa akan datang.

“Kita melihat keutamaan untuk destinasi dalam rantau Asia Pasific (APAC) dan antara destinasi terkemukanya adalah Tokyo, Jepun.

Kita juga dapati dalam kalangan 10 destinasi tumpuan itu, sembilan dalam rantau APAC dan tiga daripadanya adalah domestik,” katanya dalam kenyataan semalam.

Berkongsi waktu sesuai untuk mendapatkan harga tiket penerbangan pada harga berpatutan, Drew berkata mereka boleh menemui harga lebih rendah dalam tempoh empat hingga lima bulan atau 139 hari sebelum hari kejadian.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan perancangan dan tempahan awal kebiasaannya adalah langkah yang terbaik.

“Dengan Google Flights, pengembara boleh menentukan harga dan seterusnya mereka akan dimaklumkan mengenai harga penerbangan yang diinginkan.

Langkah ini sekali gus dapat membantu mereka menjimatkan sedikit wang tambahan yang boleh dibelanjakan ketika perjalanan nanti,” katanya.

Data direkodkan Google turut mendapati ramai pengembara luar dari Singapura, Australia dan Indonesia berkunjung ke tempat menarik di Malaysia pada suku pertama tahun ini. Antara tempat menarik paling digemari pengunjung dari negara berkenaan adalah Pantai Pengkalan Balak, Melaka, iaitu sebuah pantai tempatan yang popular mudah berkunjung.

Taman popular yang menjadi pilihan utama kumpulan pengunjung terbabit ialah KLCC Park di Kuala Lumpur manakala Muzium Negara kekal sebagai muzium popular untuk dikunjungi.

10 destinasi popular carian Google Flights
1. Tokyo, Jepun
2. Bangkok, Thailand
3. London, United Kingdom
4. Taipei, Taiwan
5. Denpasar, Indonesia
6. Kota Kinabalu, Malaysia
7. Langkawi, Malaysia
8. Seoul, Korea Selatan
9. Kuala Lumpur, Malaysia
10. Osaka, Jepun

Loading...
Terkini