JOHOR BAHRU: Tiga cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di lampu isyarat Jalan Kempas Baru, Kempas di sini, petang semalam.
Kemalangan jam 5 petang membabitkan pikap Ford Ranger, Perodua Axia, van Kia Pregio serta dua motosikal, Yamaha Y15ZR dan Yamaha 135LC.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima maklumat jam 5.10 petang.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Ford Ranger 2.0 dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun dari arah Pasir Gudang menuju ke Setia Tropika melanggar Perodua Axia dipandu lelaki warga tempatan berusia 21 tahun.
“Ketika itu, dua kenderaan itu sedang bergerak di lorong yang sama ketika lampu isyarat berwarna hijau.
“Akibat pelanggaran itu, pemandu Ford Ranger terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar van dan dua motosikal terbabit yang ketika itu ketiga-tiga kenderaan itu sedang berhenti di lampu isyarat,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, video kemalangan itu tular di media sosial, malam tadi.
Susulan kejadian itu, pemandu van berusia 53 tahun cedera di kepala dan kaki kanan manakala penunggang Yamaha Y15ZR iaitu remaja lelaki tempatan berusia 18 tahun cedera di pinggang, leher, kaki dan tangan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.