Tumpuan :
Nasional

3 calon berkeperluan khas pendengaran antara 35,000 calon hadapi SPM di Sarawak

Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli memberi kata-kata semangat kepada pelajar yang menduduki SPM 2024.

Oleh: Kadir Edison

KUCHING: Kekurangan dari aspek kosa kata menjadi antara cabaran utama dihadapi dan diatasi dalam menyediakan tiga pelajar berkeperluan khas pendengaran sebelum mereka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

Tiga pelajar berkeperluan khas pendengaran dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor, Kuching terbabit antara 35,424 calon yang memduduki peperiksaan itu secara bertulis bermula hari ini.

Guru Pendidikan Khas, Husnan Khufadli berkata, masalah kekurangan kosa kata terbabit menyebabkan tiga calon itu berdepan kesukaran untuk memahami struktur ayat atau perkataan yang diajarkan kepada mereka.

Justeru katanya, bagi mengatasi cabaran kekurangan kosa kata di kalangan pelajar, dia sentiasa merujuk dan bekerjasama dengan guru panitia bahasa aliran perdana dalam menyediakan modul bersesuaian untuk meningkatkan kefahaman pelajar-pelajar terbabit.

“Bagi mengatasi kekurangan itu, kami selalu menggunakan pelbagai tekniklah, contohnya teknik bergambar, suruh mereka rujuk kamus ataupun mengggunakan digital, bahan-bahan digital.

“Kaedah-kaedah ini adalah untuk meningkatkan lagi kosa kata dan juga pemahaman mereka dengan apa yang mereka baca dan apa yang mereka belajar,” katanya ketika ditemui selepas sesi taklimat ringkas bersama calon SPM di SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor di sini.

Seramai 146 calon yang menduduki peperiksaan SPM yang bermula hari ini di sarawak merupakan calon yang berkeperluan khas.

Sementara itu Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli memberitahu, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) mengenalpasti beberapa sekolah yang mempunyai risiko dilanda bencana banjir susulan keadaan cuaca hujan ketika ini.

Jelasnya, JPNS menyediakan dua pusat peperiksaan sebagaI sandaran sekiranya pusat peperiksaan sedia ada tidak dapat diakses disebabkan berlaku bencana berkenaan.

Penyediaan pusat sandaran itu katanya, bagi membolehkan setiap calon terlibat atau terjejas akibat bencana banjir dapat menduduki peperiksaan itu dengan lancar.

“Inisiatif ini dilaksanakan menerusi Operasi Payung yang dikelolakan oleh Lembaga Peperiksaan di seluruh negara bagi memastikan setiap calon SPM dapat menduduki peperiksaan itu.

“Di Sarawak ini, kebanyakan pusat peperiksaan kita adalah selamat untuk digunakan namun ia berkemungkinan tidak dapat diakses disebabkan jalan menuju ke pusat itu yang terputus sekiranya berlaku bencana banjir itu,” katanya.

Bagi peperiksaan SPM 2024, sebanyak 255 buah pusat peperiksaan di sediakan membabitkan 207 buah sekolah di seluruh Sarawak.

Daripada jumlah itu, sebanyak enam buah sekolah dikesan berdepan risiko dilanda bencana banjir dan masalah terputus jalan perhubungan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini