KUANTAN: Pasangan suami isteri bersama bayi mereka berusia 10 bulan maut, manakala tiga anak mereka cedera selepas kenderaan jenis pikap dinaiki terbabit kemalangan.
Nahas berlaku kira-kira jam 4 petang di Kilometer 200.5 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan, di sini.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohamad Shafiq Zailani, 33 dan isteri, Faeiznoor Mansor, 32, masing-masing meninggal dunia di tempat kejadian, manakala bayi lelaki mereka Daryan Marwa, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.
Tiga anak mangsa berusia antara dua hingga sembilan tahun terselamat.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata berdasarkan laporan, kemalangan membabitkan sebuah pikap jenis Ford Ranger dari arah Bandar Jengka, Maran menghala Kuantan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar pokok di bahu jalan.
“Akibat kemalangan, pemandu dan penumpang hadapan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala bayi lelaki berusia 10 bulan disahkan meninggal dunia di HTAA, Kuantan.
“Tiga lagi anak pasangan yang cedera dibawa ambulan ke HTAA untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Wan Mohd Zahari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP Taman Tas dikejarkan ke lokasi kemalangan.
“Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.