comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 3 ahli GISBH mengaku tidak bersalah eksploitasi dan amang seksual fizikal

FOTO: NSTP

KOTA TINGGI: Tiga individu yang mempunyai kaitan dengan syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memperdagangkan orang dan melakukan amang seksual fizikal.

Tertuduh, Mahmad Hamal Tukiman, 57, dan Rabiahtul Adawiyah Md Shash, 31, yang masing-masing menghadapi empat pertuduhan memperdagangkan empat individu, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang dipercayai pengurus sebuah resort GISBH bersama tiga lagi yang masih bebas iaitu Afizah Afizah Arifin, Mohamad Suhaimi Mohd Sani dan Norafiratul Abidah Ismail didakwa mencapai niat bersama memperdagangkan orang yang bukan kanak-kanak berusia antara 30 hingga 57 tahun.

Perbuatan ke atas tiga wanita dan seorang lelaki itu adalah bagi maksud eksploitasi kerja paksa dengan cara ancaman di Ikhwan Resort Kampung Air Bintan, Ladang Sungai Papan, Bandar Penawar, Pengerang di sini, antara Ogos 2023 hingga 1 Oktober lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga RM250,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Khairuddin Khalid tidak menawarkan sebarang jaminan, namun mencadangkan jumlah RM50,000 bagi setiap tertuduh untuk setiap pertuduhan, sekiranya mahkamah ingin membenarkan ikat jamin.

Beliau turut mencadangkan syarat tambahan jaminan iaitu dengan dua orang penjamin, pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah, lapor diri di balai polis setiap bulan dan dilarang mengganggu mangsa dan saksi.

Peguam Fathul Anwar Muin yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon anak guamnya dibenarkan jamin dengan jumlah yang rendah dengan alasan mereka mempunyai tanggungan.

“Mahmad Hamal mempunyai 11 orang anak dan masih menanggung sembilan daripadanya selain lapan orang cucu. Tertuduh mempunyai dua isteri yang mana isteri kedua sedang hamil lima bulan dan kedua-duanya tidak bekerja.

“Rabiahtul Adawiyah pula mempunyai empat orang anak dan anak bongsu berusia dua tahun masih menyusu badan. Tertuduh turut menanggung ibunya,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin keseluruhan RM40,000 dengan dua penjamin berserta semua syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.

Kes itu kemudian ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 27 November depan.

FOTO: NSTP

Sementara itu, seorang pekerja resort GISBH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen yang sama atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja.

Tertuduh, Muhammad Ansarullah Tukino, 20, didakwa melakukan perbuatan itu bagi maksud seksual terhadap lelaki berusia 16 tahun lima bulan dengan cara meraba peha dan kemaluan mangsa di surau Ikhwan Resort itu, kira-kira jam 10 malam, pada 1 Jun dan 3 Jun lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimun 20 tahun dan boleh dihukum sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga boleh diperintahkan menjalani kaunseling pemulihan, diletakkan di bawah pengawasan polis dan membayar pampasan kepada mangsa, jika sabit kesalahan.

Ahmad Khairuddin turut tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, namun mencadangkan jumlah RM40,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta dua penjamin dengan tiga syarat tambahan.

Peguam Muhammad Zaim Rusli yang mewakili tertuduh memberitahu anak guamnya hanya bersedia dengan RM8,000 untuk ikat jamin yang akan dibayar oleh abangnya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan passport diserahkan kepada mahkamah, lapor diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa serta saksi.

Sebutan semula kes bagi serahan dokumen pada 28 November depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini