comscore
Tumpuan :
Nasional

2kg sarang burung tanpa permit sah dirampas di KLIA Terminal 2

Foto: MAQIS

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas dua kilogram (kg) sarang burung yang cuba dibawa masuk tanpa permit sah menerusi Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah MAQIS Selangor, Mohd Sobri Md Hashim berkata, sarang burung dianggar bernilai RM8,000 itu dikesan ketika melalui mesin pengimbas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada jam 11.45 malam, Khamis lalu.

“Sarang burung diletakkan dalam empat bungkusan itu dibawa seorang warga tempatan yang tiba dari Laos.

“Perbuatan mengimport sarang burung tanpa permit sah dari MAQIS adalah suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan 2011,” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Sobri berkata, MAQIS sentiasa memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih dan mikroorganisma yang dibawa masuk ke negara ini adalah bebas dari ancaman perosak serta penyakit.

“Ia juga perlu bebas daripada bahan cemar serta tidak akan menjejaskan sektor pertanian, penternakan dan makanan negara di samping mematuhi aspek kesihatan manusia, haiwan, tumbuhan, ikan dan kesihatan makanan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini