Tumpuan :
Nasional

29 PATI warga Myanmar ditahan di sempadan negara

Seramai 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan Angkatan Tentera Darat Malaysia (TDM) di sempadan negara di sini semalam.-FOTO: NSTP/Ihsan TDM

BUKIT KAYU HITAM: Angkatan Tentera Darat Malaysia (TDM) menahan 29 pendatang tanpa izin (PATI) warga Myanmar di sempadan negara di sini, semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan berkata, tangkapan itu dibuat kira-kira jam 6.15 petang di sekitar Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).

“Pasukan beroperasi yang sedang melaksanakan rondaan telah mengesan dan menahan sekumpulan orang awam dalam keadaan yang mencurigakan di kawasan hutan berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua 29 orang awam tersebut tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan merupakan PATI warganegara Myanmar.

“Mereka terdiri daripada 15 orang lelaki dan 14 orang wanita termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia antara enam tahun hingga 41 tahun,” katanya.

Menurut kenyataan itu, turut dirampas sejumlah wang tunai, 19 buah telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah komputer riba dan barang perhiasan diri dengan anggaran keseluruhan nilai barang rampasan adalah sebanyak RM19,837.

Kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini