Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Sejumlah 96.5 peratus atau 28 daripada 29 sampel air kumbahan dari Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dikesan mempunyai kehadiran virus SARS-CoV-2 penyebab jangkitan COVID-19, setakat 31 Disember lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hasil pengujian Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) mendapati kesemua sampel itu adalah varian Omicron, manakala satu sampel masih dalam proses pengujian.
“Daripada 28 sampel ini, 15 daripadanya iaitu 53.6 peratus telah lengkap ujian penjujukan genom penuh (WGS) dan didapati sub susur galur (sublineage) dominan yang dikesan adalah BA.5, BA.2, BA.2.75, dan BA.2.12,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, bagi tempoh sama, MKAK turut menerima sejumlah 301 sampel dari 15 lokasi sentinel bagi mewakili setiap negeri di negara ini.
Daripada jumlah itu, 288 sampel (95.7 peratus) dikesan kehadiran SARS-CoV-2 dan positif Omicron dengan 32 sampel telah lengkap ujian WGS dengan sublineage dominan yang dikesan adalah BA.5, BA.2, BA.2.75 dan BA.2.12.
Tiga lagi sampel tidak dikesan virus, manakala 10 masih dalam proses pengujian.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, Malaysia telah mula menjalankan survelan persekitaran COVID-19 menggunakan air kumbahan melibatkan sampel dari PMA dan lokasi sentinel sejak Jun lalu bertujuan sebagai survelan sokongan (Supplementary Surveillance) bagi COVID-19 sejajar dengan Fasa Peralihan ke Endemik negara.
Objektif survelan tersebut bertujuan sebagai amaran awal melalui pengesanan kehadiran virus SARS-CoV-2 dalam sampel air kumbahan, memberi gambaran tren kepekatan virus SARS-CoV-2 dan mengenal pasti varian SARS-CoV-2 yang terdapat dalam komuniti serta memantau keberkesanan intervensi kawalan COVID-19 secara amnya.
“Bagi lokasi sentinel di setiap negeri, sampel air kumbahan diambil dari loji rawatan kumbahan terpilih oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang berkenaan. Sebanyak dua atau tiga sampel diambil dari setiap lokasi sentinel setiap bulan mengikut keperluan. Sampel-sampel ini kemudiannya dihantar ke MKAK bagi proses pengujian.
“Bagi sampel dari PMA pula, penilaian risiko dijalankan secara berterusan bagi mengenal pasti negara-negara yang berisiko. Hasil penilaian ini, kesemua penerbangan dari negara yang dikenal pasti kemudiannya diteliti dengan lebih lanjut oleh Pejabat Kesihatan (PK) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.
Menurut beliau, secara amnya semua air kumbahan kapal terbang akan dibawa keluar dari kapal terbang melalui ‘lavatory truck’ ke ‘aircraft waste disposal facilities’ (AWDF) dan proses ini diselaraskan oleh pihak Airport Ground Handler.
Setelah penerbangan yang disasarkan dikenal pasti, proses persampelan air kumbahan dijalankan oleh PK KLIA dengan kerjasama pihak lapangan terbang KLIA sebelum air kumbahan ini dilepaskan ke AWDF.
Persampelan air kumbahan dari pesawat dijalankan sebanyak dua kali seminggu.
“Bagi survelan air kumbahan dari pesawat ini, sebanyak satu liter sampel air kumbahan diambil daripada pesawat terpilih dan dihantar ke MKAK. Sampel air kumbahan yang telah dikumpul dan diterima di makmal akan dijalankan proses konsentrasi virus diikuti proses pengekstrakan RNA virus SARS-CoV-2.
“Seterusnya, proses amplifikasi dan pengesanan virus akan dilakukan menggunakan kaedah Realtime Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (Realtime RT-PCR) menggunakan kit khas bagi sampel air kumbahan. Bagi sampel positif dengan nilai CT ≤ 30, ujian WGS akan dilakukan bagi mengesan varian, sublineage dan mutasi bagi virus berkenaan.
“Keputusan ujian seterusnya dikongsikan dengan Pegawai Epidemiologi bagi analisis dan pengumpulan data terperinci untuk melihat tren sebagai survelan berterusan dan proses intervensi,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, seiring dengan keadaan semasa, survelan air kumbahan PMA akan turut melibatkan sampel dari China.
Langkah itu akan membolehkan KKM memantau kemasukan varian SARS-CoV-2 dari negara tembok besar tersebut sebagai antara langkah kawalan dalam menghadapi situasi semasa.
Sebelum ini, Malaysia menetapkan pengembara yang tiba dari luar negara termasuk China perlu melalui saringan demam di PMA, manakala sampel air kumbahan pesawat dari republik itu juga akan diambil.
KKM juga mempertimbangkan keperluan vaksinasi penuh bagi pengembara dari luar, termasuk China sebagai syarat untuk mereka dibenarkan memasuki negara ini.