GEORGE TOWN: Sebuah pasar borong di Gat Lebuh Macallum di sini, diserbu dalam operasi bersepadu pemeriksaan premis dan pekerja warga asing yang dijalankan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang, kelmarin.
Operasi berkenaan turut menahan seramai 28 warga asing yang bekerja di pasar borong berkenaan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan.
MBPP berkata, terdahulu, seramai 57 warga asing yang bekerja di pasar borong berkenaan diperiksa ketika operasi dua jam bermula kira-kira 3 pagi.
Katanya, enam notis tawaran kompaun dikeluarkan menerusi operasi itu, yang mana empat daripadanya adalah kesalahan Undang-undang Kecil (UKK) 3(1) dan UUK Establisymen Makanan MBPP 1991 kerana menjalankan establisymen makanan tanpa lesen sah.
“Manakala, dua lagi dikeluarkan berdasarkan kesalahan mengikut UUK 5 : UUK Iklan MPPP 2000 kerana mempamer papan iklan tanpa lesen daripada MBPP.
“Seluruh kawasan berjaya dikepung sepenuhnya ketika mengawal pergerakan pekerja warga asing bagi diperiksa,” menurut kenyataan MBPP di Facebook, semalam.
Difahamkan, terdapat beberapa warga asing cuba meloloskan diri sebaik menyedari digempur dan ada juga yang bertindak bersembunyi di stor simpanan barang, namun mereka berjaya ditahan.
Mengulas lanjut MBPP berkata, kesemua warga asing yang ditahan JIM Pulau Pinang didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 17(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963; Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
“Sebuah syarikat perniagaan juga bakal berdepan dengan tindakan undang-undang atas kesalahan mengikut Seksyen 56 (1) (d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.