KUALA LUMPUR: Sebanyak 28 aduan berkaitan penderaan dan gangguan seksual dalam sukan dilaporkan dari 2023 hingga 2024, termasuk enam kes gangguan seksual, menurut Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Menterinya, Hannah Yeoh, berkata daripada jumlah itu, 16 kes telah diselesaikan, manakala 11 kes masih dalam siasatan.
“Antara kes yang telah diselesaikan, dua membabitkan penderaan seksual, dua kes antunan seksual, serta beberapa kes lain seperti penderaan mental (3 kes), penderaan fizikal (2 kes), buli (4 kes), ugutan (2 kes) dan pengabaian (1 kes),” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen semalam.
Beliau menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang meminta KBS menyatakan langkah intervensi untuk wanita dalam industri sukan serta bilangan aduan yang dikendalikan berserta status terkini.
Sementara itu, empat kes penderaan seksual masih aktif, selain dua kes penderaan mental, dua kes penderaan fizikal dan tiga kes pengabaian.
Yeoh berkata, pihaknya akan terus memperkasakan pelaksanaan Kod Sukan Selamat serta memperhebat program advokasi di peringkat akar umbi bagi memastikan sukan di Malaysia selamat dan bebas daripada sebarang bentuk gangguan serta penderaan.
“Sebagai langkah pencegahan, semua organisasi sukan dikehendaki menjalankan semakan latar belakang sebelum melantik jurulatih atau pegawai teknikal, terutama individu yang terlibat dalam membimbing kanak-kanak,” katanya.
Selain itu, keperluan menandatangani akujanji pematuhan Sukan Selamat serta Polisi Perlindungan Kanak-Kanak dalam setiap kontrak atau lantikan turut diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha membanteras insiden gangguan dan penderaan dalam sukan.
Langkah itu, katanya, selaras dengan pindaan Jadual Kedua dan Ketiga di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) yang berkuat kuasa sejak 10 Mac 2023, sekali gus menekankan kepentingan memastikan persekitaran sukan yang selamat dan berintegriti.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.