Tumpuan :
Nasional

26,645 permohonan SJKP diluluskan, tingkat pemilikan rumah golongan belia

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Nasir berkata, SJKP beri peluang kepada pembeli rumah pertama golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap terutama golongan ekonomi gig.

KUALA LUMPUR : Sebanyak 26,645 daripada 30,841 permohonan pinjaman telah diluluskan, di bawah Inisiatif i-Biaya menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), bagi meningkatkan pemilikan rumah khususnya membabitkan golongan belia.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Nasir berkata, menerusi inisiatif itu juga, kerajaan telah melaksanakan pelbagai penambahbaikan dengan menyediakan tambahan jaminan pembiayaan sehingga RM5 bilion.

“Di bawah Belanjawan 2024, kerajaan juga telah bersetuju untuk meningkatkan jaminan pembiayaan dengan nilai tambahan jaminan sebanyak 10 bilion ringgit, di sepanjang pelaksanaan SJKP mulai 2008 sehingga 30 September 2023, sebanyak 26,645 daripada 30,841 permohonan pinjaman iaitu sebanyak 86.43 peratus telah diluluskan bagi golongan belia.”

Beliau berkata demikian, ketika menjawab pertanyaan yang dikemukan oleh Senator Tan Sri Mohamed Haniffa Abdullah di Dewan Negara.

Tambah Akmal, (SJKP) memberi peluang kepada pembeli rumah pertama golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap terutama golongan ekonomi gig.

Di samping itu jelasnya, pembiayaan juga tidak terhad untuk kediaman baharu tetapi juga melibatkan rumah sedia ada atau rumah lelongan.

Sehingga 31 Oktober lalu, menerusi 162 Program Perumahan Rakyat (PPR), kira-kira sebanyak 100,696 unit rumah telah siap dibina.

Loading...
Terkini