comscore
Tumpuan :
Nasional

26 haiwan di premis GISBH Rawang telah diselamatkan

FOTO: Ihsan Persatuan Haiwan Malaysia (MAA)

Oleh: Fahmi Tajuddin

PETALING JAYA: 26 haiwan di sebuah kawasan premis perniagaan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings di Bandar Country Homes, Rawang diselamatkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia dan  Persatuan Haiwan Malaysia (MMA) petang tadi.

Presiden MAA, Arie Dwi Andika berkata antara haiwan yang diselamatkan termasuk sembilan ekor kuda, tiga ekor burung merak dan 14 ekor arnab.

“Kuda diambil oleh pihak Unit berkuda PDRM sebanyak sembilan ekor kerana ianya tergolong dalam aset yang ditahan di bawah AMLA.

FOTO: Ihsan Persatuan Haiwan Malaysia (MAA)

“Untuk haiwan lain, agensi lain tiada kekuatan untuk memelihara, maka MAA menawarkan khidmat penjagaan kepada haiwan-haiwan berkenaan.

“Sejumlah 14 ekor arnab dan tiga ekor burung merak diselamatkan oleh pihak MAA untuk penjagaan sementara dan ditempatkan di pusat jagaan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

FOTO: Ihsan Persatuan Haiwan Malaysia (MAA)

Jelasnya, pemerhatian MAA mendapati kondisi haiwan berkenaan pada asalnya berada pada tahap yang baik, namun wujud unsur pengabaian apabila haiwan tersebut ditinggalkan selama beberapa hari.

“Setakat ini semua haiwan yang dikenal pasti, pada awal, kondisinya tidak teruk, namun sejak tiga hari mereka ditinggalkan wujud unsur pengabaian makan minum dan kebersihan haiwan berkenaan.

“Kami difahamkan, sepanjang tempoh tiga hari haiwan-haiwan berkenaan dibiarkan, penduduk setempat bersama-sama memberi makan secara bergilir kepada kuda-kuda di situ, namun tidak dapat membantu merak dan arnab sebab pintu terkunci.

FOTO: Ihsan Persatuan Haiwan Malaysia (MAA)

Arie juga berkata tempoh penjagaan haiwan-haiwan berkenaan adalah berdasarkan keputusan pihak polis.

“Tempoh (jagaan) itu terpulang kepada pihak polis, MAA tiada masalah untuk menerima, menyimpan, memelihara haiwan-haiwan berkenaan. Kerana tiada masalah kos untuk dibelanjakan.

Selain itu, tegasnya MAA tidak menolak kerjasama Badan Bukan Kerajaan, NGO itu bersama PDRM dalam menyelamatkan haiwan-haiwan menerusi Op Global akan datang.

Malah, pihaknya mengalukan kerjasama untuk menawarkan khidmat jagaan sementara kepada haiwan-haiwan yang diselamatkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini