Tumpuan :
Nasional

26 ekor lembu bernilai RM130,000 diseludup dari Thailand melalui Sungai Golok

Tentera Darat Malaysia (TDM) merampas 26 lembu bernilai RM130,000 yang diseludup dari Thailand di Kampung Nibong. FOTO: TDM

TANAH MERAH: Tentera Darat Malaysia (TDM) merampas 26 lembu bernilai RM130,000 yang diseludup dari Thailand melalui Sungai Golok, di Kampung Nibong di sini, awal pagi semalam.

Menurut kenyataan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen), rampasan jam 1.15 pagi itu, dilakukan di kawasan Briged Kelapan Infantri Malaysia.

Katanya, anggota bertugas pada mulanya mengesan dua lelaki membawa masuk haiwan terbabit dari Thailand, dengan merentasi Sungai Golok.

“Anggota kemudiannya mengawasi segala pergerakan penyeludup terbabit sebelum menyerbu ke arah suspek, namun suspek melarikan diri ke sempadan Thailand.

“Suspek meninggalkan 26 lembu dengan nilai rampasan sebanyak RM130,000. Satu laporan polis berkaitan rampasan haiwan ternakan dibuat di Balai Polis Nibong.

“Haiwan rampasan sudah diserahkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Rantau Panjang, manakala kes penyeludupan akan disiasat oleh pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini