Tumpuan :
Nasional

26 e-gate tambahan dipasang di BSI, mula operasi pada 19 Februari

Sebanyak 26 e-gate tambahan dipasang di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan dijangka mula digunakan 19 Februari ini. – Foto FB Fazli Salleh

JOHOR BAHRU: Sebanyak 26 e-gate tambahan dipasang di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan dijangka mula digunakan 19 Februari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, penambahan e-gate itu menjadikan keseluruhan 39 unit kemudahan itu disediakan di balai ketibaan, manakala 29 lagi di balai pelepasan.

Beliau berkata, semua e-gate tambahan itu sedang diuji sebelum dapat digunakan dua minggu lagi.

“E-gate tambahan telah pun sampai ke CIQ BSI. Sebanyak 26 unit e-gate baharu telah dipasang dan sekarang sedang diuji.
“17 unit dipasang di balai ketibaan, manakala sembilan unit lagi dipasang di balai pelepasan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Sebelum ini, terdapat 22 unit e-gate sedia ada di balai ketibaan, manakala 20 lagi di balai pelepasan.

Mohamad Fazli berharap dengan penambahan e-gate itu, perjalanan merentas dua negara bertambah lancar dan memberi keselesaan kepada rakyat.

Pada 20 Januari 2023, kerajaan membenarkan sistem e-gate di CIQ BSI dan CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) digunakan warga asing, khususnya warga Singapura yang berulang alik ke Johor untuk tujuan sosial.

Langkah itu antara penyelesaian jangka pendek diambil untuk mempercepat aliran keluar masuk pengembara di BSI dan KSAB.
Pada 13 Oktober 2023, Mohamad Fazli dilaporkan berkata, kerja menambah e-gate khusus pejalan kaki mula dilaksanakan bagi memberi keselesaan dan mempercepatkan perjalanan ulang alik ke Singapura tanpa beratur panjang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini